Sunday, 15 November 2015

HUKUM PENGGUGURAN JANIN..






Pengguguran (al-ijhadh) bermaksud menggugurkan janin yang masih belum sempurna penciptaannya sebelum tiba tempoh lahirnya. (Mustafa, Ibrahim et.al.,al-Mu'jam al-wasit, cet. ke-2, Istanbul: Dar al-Da'wah, 1989, jil. 1, hlm. 144)
Rasulullah saw menjelaskan peringkat perkembangan janin dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Abu Abdul Rahman; Abdullah bin Mas'ud berkata, "Nabi Muhammad s.a.w., orang yang paling benar dan paling dipercayai, pernah memberitahu kami, 'Sesungguhnya setiap orang daripada kalian dicipta di dalam rahim ibunya selama 40 hari dalam bentuk titisan air mani (nutfah), kemudian dia menjadi segumpal darah ('alaqah) selama 40 hari juga, lalu menjadi seketul daging (mudghah), juga selama tempoh yang sama. Kemudian Allah menghantar malaikat supaya meniupkan roh kepadanya. Malaikat itu diberikan 4 perintah, iaitu supaya menuliskan rezekinya, ajalnya, amal perbuatannya dan sama ada dia akan sengsara ataupun bahagia..." (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

Imam al-Ghazali (w 505H); ulama bermazhab Syafi'i menjelaskan, "Menggugurkan janin (al-ijhadh) dan menanam bayi hidup-hidup (al-wa'd) merupakan satu jenayah ke atas makhluk yang wujud. Terdapat beberapa tahap kewujudan, pertamanya ketika benih lelaki memasuki rahim wanita, lalu bercampur antara benih lelaki dan perempuan serta ia bersedia untuk menerima kehidupan, yang dinamakan nutfah (zigot). Menggugurkan nutfah merupakan satu jenayah. Jika nutfah itu berubah menjadi 'alaqah (epigenesis) dan mudghah (somit), maka jenayah menggugurkannya menjadi semakin berat. Seterusnya jika telah sempurna bentuk tubuh badannya dan telah ditiupkan roh, maka jenayah menggugurkannya menjadi lebih berat. Jenayah yang paling berat apabila bayi yang telah lahir hidup dibunuh." (al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad, Ihya' 'ulum al-din, Qaherah: al-Matba'ah al-'Uthmaniyah, 1352H, jil. 2, hlm. 47 )
As-Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata, "Pendapat yang lebih tepat (rajih) menurut saya ialah dilarang menggugurkan kandungan seawal usia kandungan kerana ia sudah dianggap bermulanya sebuah kehidupan dan bermulanya perkembangan janin. Melainkan jika terdapat darurat seperti penyakit yang merbahaya, kanser; atau adanya keuzuran seperti terputus susu ibu kesan daripada mengandung, sedangkan ibu itu sedang menyusukan bayinya, serta dalam masa yang sama bapa bayi itu tidak mampu membayar upah ibu susu, dan dikhuatiri situasi tersebut menjejaskan keselamatan bayi. Saya lebih cenderung kepada pendapat al-Ghazali yang menganggap pengguguran itu walaupun pada awal kandungan ia adalah seperti dosa menanam anak hidup-hidup serta ia adalah perbuatan jenayah ke atas makhluk yang hidup." (al-Zuhaili, Wahbah, al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, cet. ke-3, Dimashq: Dar al-Fikr, 1989, jil. 3, hlm. 557)

Imam Qadi Khan memberikan contoh keuzuran yang membolehkan seseorang wanita menggugurkan kandungannya, "Seorang wanita yang sedang menyusukan anaknya, kemudian dia mengandung, lalu terhenti susunya, serta dalam masa yang sama bapa kanak-kanak itu tidak mampu membayar upah ibu susu, dan dikhuatiri situasi tersebut menjejaskan keselamatan kanak-kanak itu. Para ulama berpendapat, 'Wanita itu dibenarkan untuk menggugurkan kandungannya selagi ia masih berupa nutfah, 'alaqah, atau mudghah yang masih belum memiliki anggota badan.' Mereka menjelaskan tempoh kandungan itu masih belum melebihi seratus dua puluh hari. Mereka membenarkan untuk digugurkan segumpal darah tersebut, kerana ia masih belum dianggap seorang manusia. Ia dibenarkan untuk menjaga nyawa seorang manusia (iaitu kanak-kanak yang sedang menyusu tersebut)." (Qadi Khan, al-Fatawa al-Khaniyah, dlm. al-Fatawa al-Hindiyah, Misr: al-Matba'ah al-Amiriyah, 1310H, jil. 3, hlm. 410)

Hujah pendapat ini ialah kandungan yang masih belum ditiupkan roh masih belum dianggap sebagai seorang manusia. Oleh itu, menggugurkan kandungan yang masih berada pada peringkat nutfah, 'alaqah, dan mudghah yang belum berusia seratus dua puluh hari iaitu sebelum janin itu bernyawa, tidak dianggap sebagai membunuh seorang manusia.

Namun jika dilakukan tanpa sebarang keuzuran yang diiktiraf oleh Syarak, wanita yang menggugurkan kandungannya itu adalah berdosa. Disyaratkan perlu wujud keuzuran kerana walaupun janin itu masih belum bernyawa, tetapi ia sudah berada di dalam rahim ibunya dan sudah bermula proses kehidupan. (al-Zuhaili, Wahbah, al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, cet. ke-3, Dimashq: Dar al-Fikr, 1989, jil. 3, hlm. 557)

Menurut majoriti para pakar perundangan Islam, jika dalam keadaan darurat, maka pengguguran janin yang sudah bernyawa adalah dibenarkan. Contoh keadaan darurat ialah bagi menyelamatkan nyawa ibu. Imam al-Syarbini al-Khatib; ulama bermazhab Syafi'i menjelaskan, "Jika seorang wanita mengandung terpaksa makan ubat sehingga menyebabkan kandungannya gugur, maka Wanita itu tidak bersalah." (al-Khatib, Muhammad al-Syarbini, Mughni al-muhtaj, Lubnan: Dar Ihya' al-Turath al-'Arabi, t.th., jil. 4, hlm. 103.)

Mahmud Syaltut; mantan Syeikh al-Azhar menjelaskan, "Jika disahkan melalui kaedah yang berautoriti, keberadaan janin yang sudah bernyawa di dalam rahim boleh membahayakan nyawa ibu, maka Syariat Islam menurut kaedah umumnya menyuruh kita mengambil kemudaratan yang lebih ringan bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar, maka dibenarkan janin itu digugurkan." (Zaidan, 'Abd al-Karim, al-Mufassal fi ahkam al-mar'ah wa al-bayt al-Muslim fi al-Syari'ah al-Islamiyah, cet. ke-2, Beirut,hlm. 126-127)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-26 pada 7-8 Mac 1990 telah membincangkan isu Pengguguran Kandungan Atas Nasihat Doktor Disebabkan Kecacatan dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut: "Adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu." Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-52 pada 1 Julai 2002 juga telah membincangkan isu Hukum Menggugurkan Kandungan Mangsa Yang Dirogol dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut: a) "Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu. b) Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan penyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu."

Para fuqaha` telah membahaskan mengenai masalah pengguguran bayi ini. Mereka membahagikan perbahasan mengenai penguguruan bayi ini kepada dua peringkat. Peringkat yang pertama janin yang belum ditiupkan roh dan peringkat yang kedua selepas ditiupkan roh.
1) Pengguguran Bayi Sebelum Ditiupkan Roh :
Telah thabit dalam hadis bahawa roh seseorang bayi itu akan ditiupkan selepas 120 hari dalam kandungan. Ini telah disebut oleh nabi Muhammad SAW dalam hadis yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari Dan Imam Muslim, yang bermaksud :
“Sesungguhnya salah seorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari sebagai air mani, kemudian menjadi segumpal darah seperti yang demikian itu (iaitu 40 hari), kemuadian ia menjadi segumpal daging seperti yang demikian itujuga (iaitu 40 hari) ,kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh padanya”.
Ia juga dikuatkan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“kemudian air manii tu kami jadikan ia segumpal darah, lalu segumpal darah itu kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu kami bungkuskan dengan daging, kemudian, kami jadikan ia makhluk yang (berbentuk) lain, maka, maha suci Allah, pencipta yang paling baik” (Al-Mukminun:14).
Ini menunjukkan bahawa Islam telah pun menyebut mengenai perkembangan janin ini didalam kandungan pada seribu tahun yang lampau sebelum saintis menjumpainya. Roh yang ditiupkan dalam janin ini tidaklah mempunyai perbezaan dengan apa yang telah disebut oleh Al-Quran dan Hadis.
Sesungguhnya janin yang belum ditiupkan rohnya berada dalam satu kehidupan yang disebut oleh ulamak “kehidupan di alam janin” dan jenis kehidupan ini bebeza dengan kehidupan di alam roh yang sudah dianggap sebagai kehidupan manusia biasa kerana telah berjalan hukum hakam ke atas peringkat ini (janin yang ditiup roh). Maka difahami disini bahawa ada perbezaan hukum antara janin yang belum ditiup rohnya dan yang sudah ditiupkan rohnya.
Maka jumhur ulamak berpendapat bahawa harusnya menggugurkan kandungan yang belum ditiupkan roh iaitu sebelum mencapai 120 hari sekiranya ada keuzuran dan kesulitan yang menghendaki supaya digugurkan kandungan seperti merasa lemah tubuh badan, khuatir akan keselamatan diri sekiranya meneruskan kandungan ataupun wujudnya kesusahan yang ditanggung hasil kandungan tersebut.
Tetapi ulamak meletakkan syarat supaya pengguguran itu tidak mendatangkan risiko dan bahaya kepada ibu kandung. Sekiranya tiada keuzuran mahupun kesulitan, maka makruh hukumnya menggugurkan kandungan tersebut.

2) Pengguguran Bayi Selepas Ditiupkan Roh :
Sepakat para ulamak mengatakan haram menggugurkan kandungan selepas ditiupkan roh iaitu ketika janin berusia 120 hari ke atas. Maka bagi siapa yang menggugurkan kandungan pada waktu ini, akan dikenakan kifarat diat ( denda ) kerana dianggap membunuh nyawa tetapi kifarat ini tidak dikenakan secara sempurna kerana menganggap bayi yang dalam kandungan tidak dikira sebagai sempurna kejadiannya .
Kifarat ini juga akan dikenakan kepada sesiapa yang terlibat dalam pengguguran ini samaada yang menggugurkan itu ibu kandungan atau suaminya ataupun orang luar. Maka mereka akan dikenakan kifarat di atas perbuatan mereka sebanyak 420 gram emas tulin mengikut nilai semasa waktu kandungan digugurkan.

PENGECUALIAN
Mengikut hukum yang asal, tidak dibolehkan untuk menggugurkan bayi dalam kandungan, walau bagaimana keadaan sekalipunpun, sekiranya ada dharurat yang memerlukan kepada proses pengguguran seperti terdedahnya ibu kandungan kepada risiko dan bahaya sekiranya ibu kandungan meneruskan kandungan terebut, maka ulamak meletakkan kaedah yang berbunyi ‘mengambil dharurat yang lebih ringan’.
Maka difahami disini bahawa menggugurkan bayi tersebut sebagai dharurat yang lebih kecil berbanding dharurat yang lebih besar iaitu meneruskan kandungan tersebut yang boleh membawa bahaya dan ancaman nyawa kepada ibu kandungan.

KANDUNGAN YANG CACAT
Pada zaman sekarang kita melihat kemajuan yang telah dicapai oleh ahli kedoktoran dan genetic dalam menyelidik sesuatu kajian. Mereka bukan sahaja dapat mengetahui jantina bayi dalam kandungan bahkan dapat mengkaji keadaan bayi tersebut samaada normal ataupun cacat, tahap kecacatan sesorang bayi, tempoh hayat bayi yang cacat dan sebagainya.
Maka, kepakaran yang ada pada ahli perubatan dan genetic ini boleh membantu sedikit sebanyak bagi menyelesaikan permasalahn hukum yang berkaitan dengan bagi yang bayi yang tidak normal ini.
Para ulamak berpendapat sekiranya janin yang berada dalam kandungan itu mempunyai masalah genetic yang boleh membawa kepada penyakit yang lebih serius apabila dilahirkan, maka diharuskan untuk menggugurkan kandungan tersebut sekiranya janin tersebut belum berusia 120 hari.
Tetapi sekiranya janin tersebut usianya telah melebihi dari 120 hari, iaitu selepas ditiupkan rohnya, maka ulamak meletakkan kaedah pertimbangan antara mudharat yang ada dan mengambil mudharat yang lebih kecil. Sekiranya kecacatan yang dialami oleh bayi tersebut tidak membawa kepada kematian ataupun kecacatan tersebut boleh dirawati selepas dilahirkan maka disepakati oleh ulama bahawa tidak boleh menggugurkan janin tersebut.
Adapun sekiranya kecacatan tersebut adalah kecacatan yang besar, serta tidak boleh dirawat, dan boleh membawa kepada kematian suatu hari nanti ataupun melambatkan pertumbuhan , sebagai contoh : bayi yang berada dalam kandungan tersebut mengalami kecacatan pada otak, yang menyebabkan tidak boleh berfikir ataupun menyebabkan gila. Maka diharuskan proses pengguguran tersebut.
Keharusan menggugurkan ini diberikan kerana melihat setiap zuriat yang selamat dan normal yang diberikan oleh Allah adalah nikmat, adapun sekiranya tidak normal, maka ianya tidak dikira sebagai nikmat bahkan bala dan bayi yang dilahirkan tersebut tidak pula mampu untuk hidup dalam keadaan cacat. Maka ianya menjadi satu keharusan untuk digugurkan walaupun selepas dari 120 hari. Tetapi doctor yang merawat pesakit terebut hendaklah bijak dalam menentukan tahap kecacatan yang dibolehkan oleh syarak untuk digugurkan berdasarkan garis panduan yang telah diberikan tadi.

JANIN HASIL DARI JENAYAH ROGOL.
Adapun sekiranya janin yang dikandung oleh ibu tersebut terhasil dari jenayah rogol, maka dibolehkan untuk digugurkan sebelum janin tersebut berusia 120 hari bahkan hendaklah bayi tersebut digugurkan dengan cepat sekiranya pasti bayi tersebut hasil dari jenayah rogol.
Keharusan ini diberikan oleh ulamak dengan menyamakan situasi ini dengan ibu yang mengandung yang menggugurkan kandungan kerana menghidap penyakit lemah anggota badan, maka keharusan gugur ini juga diberikan kerana melihat kepada mangsa rogol yang mengalami trauma dan kesan tersebut membawa kepada mental yang lemah sekiranya kandungan itu tidak digugurkan.

15 comments:

  1. Nauzubillah... moga kita dijauhkan dari sifat2 yang keji...

    ReplyDelete
  2. tahniah,,maklumat yang sangat berguna.

    ReplyDelete
  3. Perkongsian yang sangat menarik. Semoga menjadi pedoman buat kita semua.

    ReplyDelete
  4. info yg sgt berguna untuk di
    manfaatkan bersama...

    ReplyDelete
  5. ilmu yg sgt brguna untuk dimanfaatkan bersama..

    ReplyDelete
  6. perkongsian yang sangat bermanfaat...

    ReplyDelete
  7. terima kasih sahabat semua atas komen2 yang membina...

    ReplyDelete
  8. Masyallah... dunia akhir zaman... Moga kita terlindung dari bencana..

    ReplyDelete
  9. Info yang baik...semoga ianya boleh dijadikan sebagai rujukan tentang hukum...

    ReplyDelete
  10. Satu perkongsian ilmu yang menarik...semoga Allah sentiasa memelihara Hamba- hambanya..

    ReplyDelete
  11. nauzubillah...inilah fenomena yang melanda kita pada masa kini..Bagaimana aktiviti ini masih lagi berlaku berleluasa sedangkan ia adalah perbuatanyang menyalahi undang-undang..

    ReplyDelete
  12. Masyaallah ..Masyaallah..akhir zaman..satu perkongsian yang menarik..

    ReplyDelete
  13. Terima kasih di atas perkongsian yang di berikan...

    ReplyDelete